Thursday, 26 December 2013

Kes Kajian:Isu Jenayah Pemerdagangan Manusia

ISU JENAYAH PEMERDAGANGAN MANUSIA
1)     Pengenalan
      Pemerdagangan manusia merupakan salah satu bentuk ancaman terhadap hak asasi dan keselamatan manusia. Ia merupakan satu pencabulan hak asasi yang paling buruk dan dunia memandang serius perkara ini termasuklah negara Malaysia. Pada umumnya, definisi pemerdagangan manusia merujuk kepada perdagangan atau perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram,  termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa.
Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran, dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan hutang). Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain,buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.
2)    Situasi Semasa Di Dunia
      Pemerdagangan manusia adalah jenayah terancang yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api. Malah kini ia menjadi satu bentuk pemerdagangan hamba abadi moden yang tidak kenal bangsa, agama, keturunan dan warna kulit. Mengikut laporan Amnesty International, pada tahun 2004 sahaja dianggarkan seramai 700000 orang diperdagang setiap tahun bagi tujuan seks. Di Bangladesh umpamanya, sebuah laporan UNICEF menyatakan kira-kira 400 orang wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa pemerdagangan setiap bulan yang kebanyakan mereka berusia 12 hingga 16 tahun dan dipaksa bekerja dalam industri seks komersial.








         
3)    Situasi Di Malaysia
      Aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia di peringkat antarabangsa semakin berleluasa dan menjadi masalah kepada banyak negara termasuklah di Malaysia. Di Malaysia, perkembangan ekonomi dan kemakmuran negara menjadi tarikan utama kepada ramai warga asing dari seluruh dunia dan ini membuka peluang kepada kerancakan landskap aktiviti jenayah yang baru di negara ini.
       Berada di kedudukan di tengah-tengah negara Asian, Malaysia merupakan antara lokasi strategik sama ada sebagai negara destinasi atau negara transit bagi pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Ditambah dengan lambakan sarang pelacuran, pusat hiburan dan rumah urut serta kedatangan pelancong dan pekerja asing ke Malaysia menggalakkan lagi sindiket pelacuran yang membawa masuk secara sah ataupun haram gadis dari China, Indonesia, Thailand, dan India untuk memenuhi permintaan pelanggan. Ini terbukti berdasarkan jumlah tangkapanyang dilakukan dalam operasi serbuan oleh polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke tempat-tempat disyaki sarang pelacuran dan rumah urut di sekitar bandar-bandar besar di negara ini.

 
                   


  



4)    Faktor-faktor Berlakunya Pemerdagangan Manusia
            Pemerdagangan manusia terutamanya wanita merupakan suatu jenayah rentas sempadan yang begitu aktif pergerakannya. Walaupun pihak berkuasa telah berhasil menumpaskan beberapa sindiket yang berhubungan, namun aktiviti ini tidak pernah tersekat dan tergugat. Ia bergerak pantas selaras dengan arus globalisasi dan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda seperti pemerdagangan barangan cuma bezanya manusia itu dijadikan komoditi pemerdagangan.
            Terdapat pelbagai faktor pencetus yang membawa kepada aktiviti ini. Faktor-faktor ini terbahagi kepada dua iaitu faktor penolak (dalaman) dan faktor penarik (luaran). Faktor penolak merupakan faktor yang datang daripada negara asal mangsa. Terdapat beberapa kriteria atau kategori faktor ini antaranya dari konteks sosio-ekonomi. Faktor sosio-ekonomi ini merangkumi elemen kemiskinan, kegawatan ekonomi, kurangnya tawaran atau peluang pekerjaan di negara asal, pengangguran, dan juga kadar literasi rendah . Selain itu keluarga bermasalah serta kenalan rapat, politik dan alam sekitar turut menjadi faktor penolak bagi aktiviti ini.
            Faktor penarik (daya tarikan dari negara yang ingin mereka bekerja) pula merujuk kepada beberapa perspektif lain iaitu dari konteks ekonomi dan politik di mana keseimbangan dan kestabilan ekonomi dan politik serta keamanan negara destinasi membuat mangsa ingin bekerja di luar negara. Tawaran gaji yang lumayan serta dijanjikan kehidupan yang lebih baik di samping  permintaan tenaga kerja yang tinggi juga menjadi faktor ekonomi mangsa ingin bekerja di luar negara. Selain itu adalah faktor budaya dan bahasa yang hampir sama antara Indonesia dan Malaysia memudahkan mangsa untuk menyesuaikan diri apabila bekerja di Malaysia.
            Faktor alam semulajadi juga mempengaruhi kerana Malaysia tidak mengalami bencana alam seperti di Indonesia, keadaan negara aman dan selamat. Kedudukan yang strategik dan persempadanan antara Indonesia dan Malaysia membuatkan mangsa tertarik untuk bekerja di Malaysa. Ini kerana memudahkan mereka untuk pulang ke kampung halaman dan masa yang diambil tidak terlalu lama. Selain itu, terdapat faktor-faktor lain yang membawa kepada masalah ini iaitu kawalan persempadanan yang longgar serta tambang penerbangan yang murah.Kecanggihan teknologi juga turut  menjadi medium utama punca berkembangnya jenayah ini. Melaluinya pelanggan hanya perlu memilih dan melanggan melalui laman web yang dibina dan ini amat menggalakkan ekorang permintaan yang tinggi dan mudahkan mereka untuk melanggan. Globablisasi merupakan faktor yang sangat-sangat mempengaruhi aktiviti pemerdagangan orang, di mana dunia rentas sempadan ini sukar untuk mengawal aktiviti jenayah terancang rentas sempadan. Ianya berlaku dengan pantas selari dengan arus globalisasi dan sukar dikesan aktivitinya.


                          


5)    Peranan Kerajaan dan NGO
            Terdapat pelbagai badan kerajaan dan badan bukan kerajaan(NGO) yang memperjuangkan isu pemerdagangan orang ini.Antara peranan yang telah dilakukan oleh kerajaan Malaysia dalam menangani masalah pemerdagangan orang adalah memberikan latihan kepada pegawai kerajaan bagi mengenal pasti mangsa dengan membuat bengkel pengendalian mangsa pemerdagangan orang yang disertai oleh PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri, Pegawai-pegawai di KPWKM dan beberapa NGO di Malaysia.
            Selain itu, kerajaan Malaysia juga mempunyai mekanisma kerjasama serantau bagi memerangi pemerdagangan orang dalam perjanjian multiliteral berhubung kerjasama perkara jenayah dalam negara di rantau ASEAN. Malaysia juga terlibat dalam ASEAN Declaration yang ditandatangi di Vientiane, Laos, pada 10th Summit pada 29 November 2004. Deklarasi ini bertujuan untuk bersama-sama mencegah dan menentang pemerdagangan orang di kawasan serantau ASEAN.
            PDRM merupakan salah satu institusi yang berada di dalam kerajaan Malaysia. PDRM telah memainkan peranan penting dengan melakukan pelbagai usaha yang efektif dalam menangani isu tersebut.Antara peranan PDRM adalah melalui penguatkuasaan di mana PDRM telah melakukan pelbagai tindakan proaktif dalam menangani masalah pemerdagangan orang seperti:
1. Mengenal pasti individu dan sindiket yang terlibat dalam kegiatan eksploitasi seksual dan mengambil tindakan pendakwaan di bawah undang-undang yang berkaitan.
2. Mengambil tindakan terhadap penganjur dan pengusaha haram di bawah Akta Kediaman Terhad 1933 dan Ordinan Darurat No.5 1969.
3. Mengenal pasti tempat-tempat yang sering dijadikan point of entry, penyeludup-penyeludup yang membawa wanita-wanita warganegara asing untuk dijadikan pelacur bagi tindakan pencegahan dan menyelamatkan mangsa.
4. Menjalin kerjasama dalam pertukaran maklumat dan risikan antara penguatkuasa luar negara dan penguatkuasa tempatan bagi menangani masalah penyeludupan wanita dan gadis untuk tujuan eksploitasi seksual.
5. Mengambil tindakan menyelamat mangsa-mangsa yang dikurung dan dipaksa untuk menjadi pelacur apabila menerima maklumat dan laporan dari pihak kedutaan, orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan.
            Selain daripada PDRM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga memainkan peranan penting dalam usaha membanteras masalah pemerdagangan orang dan membantu mangsa-mangsa pemerdagangan orang ini. Antara peranan serta usaha yang telah dilakukan oleh KPWKM adalah menyediakan program kesedaran kepada masyarakat berhubung masalah pemerdagangan orang. Program kesedaran ini dilakukan dengan cara melakukan kempen kesedaran awam mengenai masalah pemerdagangan orang melalui seminar, bengkel serta pengedaran risalah. Selain itu, peranan yang telah dilakukan oleh KPWKM adalah membuat satu persidangan dengan memberi latihan kepada polis dan pegawai Jabatan Imigresen bagi mengenal pasti mangsa-mangsa pemerdagangan orang. KPWKM juga berperanan memberikan perlindungan kepada mangsa di mana KPWKM telah membuka lima pusat khas (rumah perlindungan)10 bagi membantu golongan wanita yang memerlukan perlindungan, perkhidmatan kaunseling dan kemahiran pekerjaan pada tahun 2003 di mana telah dikelola oleh Jabatan Pembangunan Wanita.
            Jabatan Imigresen juga memainkan peranan yang penting dalam usaha membanteras masalah pemerdagangan orang. Peranan penting yang telah dilakukan oleh anggota serta pegawai di Jabatan Imigresen dari aspek penguatkuasaan adalah seperti mengadakan kawalan ketat pintu masuk aktiviti ini di samping mengadakan rondaan dan kawalan yang ketat di perairan yang merupakan saluran pintu masuk (entry point) selain udara. Ini kerana banyak  aktiviti perdagangan ini dijalankan melalui sistem perkapalan. Mangsa-mangsa yang berjaya ditangkap akan ditahan bagi sesi siasatan dan kemudiannya akan diserahkan oleh pihak polis untuk mengambil tindakan seterusnya. Selain itu, Jabatan Imigresen juga sedang menjalani penyusunan semula organisasi dan bahagian Anti Pemerdagangan Orang yang meliputi aspek struktur, kelengkapan, pelaksanaan sistem dan tenaga manusia.
            Selain itu, peranan kerajaan Malaysia adalah dari aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang dan dasar negara di mana pada 28 Februari 2008, kerajaan Malaysia telah meluluskan Akta Anti-Pemerdagangan Orang 2007 (ATIP) dan ia menjadi undang-undang serta dasar negara Malaysia. Kemudian digubal menjadi Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyelidupan Migran 2007 (ATIPSOM). ATIPSOM 2007 digubal dan dirangka sedemikian rupa bersesuaian dengan persekitaran Negara kita Malaysia. Melalui akta ini, nasib mangsa pemerdagangan orang lebih terjamin kerana kandungan akta ini merangkumi aspek pendakwaan, pencegahan, jagaan dan perlindungan bagi mangsa pemerdagangan orang.13 Kerajaan Malaysia juga menjalinkan kerjasama dengan negara Ausralia dalam usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang. Malaysia juga mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara ASEAN, sama ada kerjasama bilateral mahupun multiliteral seperti ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (AMMTC), ASEAN Senior Officials Meeting on Transnational Crime SOMTC dan Working Group on Trafficking in Persons.
             Sebagai sebuah organisasi yang komited dalam melindungi hak-hak asasi wanita dan juga pendatang asing (imigran) yang ditindas serta dieksploitasi oleh majikannya, Tenaganita telah memperjuangkan isu pemerdagangan orang sejak 23 tahun dahulu. Tenaganita telah ditubuhkan pada tahun 1991.Antara peranan yang telah dilakukan oleh Tenaganita untuk membantu mangsa-mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seksual)  adalah dari aspek melakukan program kesedaran kepada masyarakat berhubung masalah pemerdagangan orang dan memberi perlindungan kepada mangsa pemerdagangan orang.Tenaganita juga berperanan memberikan perlindungan kepada mangsa pemerdagangan orang dengan menyediakan rumah perlindungan di mana mangsa-mangsa di bawah penjagaan Tenaganita diberikan perhatian, penjagaan, sokongan, ilmu dan juga latihan sampingan. Usaha lain yang telah dilakukan oleh Tenaganita dalam membantu mangsa yang menjadi mangsa eksploitasi seksual adalah dengan memberikan khidmat kaunseling, bantuan perubatan, sesi ceramah dan motivasi serta berusaha menyediakan tiket penerbangan untuk mangsa pulang ke kampung halaman masing-masing.


                                                




6)    KESAN-KESAN PEMERDAGANGAN MANUSIA
            Terletak di tengah-tengah ASEAN, Malaysia menjadi lokasi paling strategik sama ada sebagai negara destinasi atau transit bagi aktiviti pemerdagangan manusia. Kelemahan dari sudut kedudukan geografi itu memudahkan negara menghadapi kesan limpahan apabila berlakunya masalah ekonomi. Keamanan dalam negara juga menyebabkan Malaysia menjadi destinasi pilihan. Negara juga dijadikan pusat transit untuk menyeludup manusia ke negara ketiga seperti Australia dan Amerika syarikat. Hasil kajian mendapati, negara Malaysia khususnya negeri Sabah adalah salah satu destinasi, dan negeri persingahan untuk wanita dan kanak-kanak yang diperdagangkan untuk eksploitasi seks secara komersial dan buruh paksa bagi lelaki.
            Selain itu, masalah pemerdagangan manusia semakin berleluasa dan mendatangkan impak negatif terhadap masyarakat. Masalah pemerdagan manusia akan menyebabkan masyarakat hidup dalam kerisauan. Nilai kejiranan mungkin tidak lagi wujud dalam kalangan masyarakat kerana risau anak-anak mereka akan diculik atau ditipu oleh jiran. Sebagai contoh, dewasa ini ibu yang hendak ke pasar tidak lagi akan tinggalkan anak kecil mereka kepada jiran, mereka sanggup bawa anak kecil bersama-sama walaupun sangat menyusahkan. Budaya ini tidak sama seperti dulu, nilai kejiranan semakin terhakis. Silaturahim antara masyarakat akan semakin tegang.
            Mungkin ramai yang tidak tahu dan tidak ambil peduli terhadap kesan daripada aktiviti pemerdagangan manusia ini. Setiap yang terjadi mesti ada akibatnya, sebagai contoh dari segi ekonomi. Ramai yang tidak sedar dan tahu bahawa pada setiap tahun kira-kira 20 billion pound wang mengalir ke luar negara akibat daripada aktiviti tersebut. Keadaan ini menyebabkan berlakunya kerugian yang besar terhadap negara dan ternyata pengaliran wang keluar yang banyak ke luar negara akan menjejaskan ekonomi negara kita. Selain itu, kehadiran manusia diseludup dari pelbagai negara ini yang ada budaya tersendiri akan menjejaskan negara dari segi budaya, demografi, sosial dan institusi kekeluargaan.

7)    Langkah-langkah Untuk Mengatasi Masalah Pemerdagangan Manusia
            Kerajaan Malaysia amat memandang serius untuk membanteras jenayah ini dan telah menubuhkan Akta Anti Pemerdagangan Orang (AKTA 670) pada tahun 2007 bagi melindungi mangsa dan mengheret si keji yang bertanggungjawab melakukan jenayah ini ke muka pengadilan. Parlimen Malaysia juga telah mengesahkan bahawa Akta Anti Pemerdagangan Orang (AKTA 670) ini telah berkuatkusa pada 24 April 2007 dan mengikut seksyen di bawah akta ini pesalah akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun serta boleh dikenakan denda bagi kesalahan memperdagangkan orang bukan kanak-kanak bagi maksud eksplotaisi.
            Selain itu,terdapat pelbagai usaha lain yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan.Antaranya ialah dengan  memperketatkan lagi kawalan sempadan Malaysia yang panjang dan kurang berpenghuni yang sering menjadi pilihan sindiket-sindiket haram untuk melakukan kegiatan mereka. Pelan Tindakan Nasional menentang jenayah pemerdagangan orang telah dilancarkan oleh YB Dato’ Seri Hishamuddin Bin Tun Hussien,mantan Menteri Kementerian Dalam Negeri yang berobjektifkan untuk memperkukuhkan undang-undang dan latihan serta memperketatkan lagi sempadan negara bagi menyekat masalah ini.
            Agensi-agensi penguatkuasa seperti pihak Polis, Kastam dan Jabatan Maritim juga akan memperlipat gandakan usaha dan kerjasama bagi membanteras kes jenayah memperdagangan orang. Hasil kerjasama semua pihak ini telah membuahkan hasil dengan berjaya membuat beberapa tangkapan di bawah Akta Pemerdagangan Orang. Memetik daripada ucapan Ambassador Luis CdeBeca dari Pejabat Mamantau dan Membanteras Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat semasa membentangkan Laporan Tahunan Kerajaan ke-10 pada 14 Jun 2010 yang bertempat di Washington D.C . Beliau menyatakan bahawa negara Malaysia telah serius menangani masalah ini, termasuk penglibatan intensif dengan kerajaan asing.
            Media massa juga memainkan peranan yang penting bagi menjangkau setiap golongan masyarakat tentang bahaya dan kepentingan bagi berkerjasama mengekang jenayah ini. Media massa juga merupakan medium perhubungan yang berkesan bagi meningkatkan kesedaran dan membuka mata masyarakat mengenai masalah ini.





                                     



8)   Kesimpulan
            Tuntasnya,walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai mekanisme dalaman untuk membendung jenayah ini, tetapi kelemahan di negara asal mangsa untuk mencegah dan mendidik rakyatnya telah menyebabkan rakyatnya mudah diperdaya serta didorong oleh masalah dalaman dalam negara tersebut yang telah menjadi faktor penolak untuk rakyatnya mencari alternatif lain demi sesuap nasi sehinggakan mereka yang tidak bersalah ini menjadi mangsa kepada si keji yang sanggup malakukan jenayah ini demi kepentingan diri sendiri sehinggakan sanggup melakukan perkara-perkara yang berada di luar nilai kemanusiaan.
            Justeru,kerjasama daripada semua masyarakat dunia merupakan jalan penyelesaian paling efektif yang patut dipraktikkan. Janganlah kita hanya berpeluk tubuh dan membiarkan sahaja beban ini dipikul oleh pihak berkuasa. Bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Marilah kita bersama-sama mengembleng tenaga bagi membanteras jenayah ini agar tiada lagi mereka yang lemah menjadi mangsa kepada jenayah pemerdagangan orang.







1 comment: